Dalam sejarah politik moden Malaysia, jarang ditemui seorang individu yang mampu menukar kesetiaan terhadap parti politik, sebanyak dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam tempoh kurang sedekad.
Mahathir bermula sebagai tunjang utama Barisan Nasional (BN) selama lebih 22 tahun sebagai Perdana Menteri.
Beliau kemudiannya menjadi teraju kepada Pakatan Harapan (PH) yang menumbangkan BN pada 2018.
Selepas itu, Mahathir menjadi arkitek kepada peristiwa Langkah Sheraton yang membawa kepada pembentukan Perikatan Nasional (PN) pada 2020.
Mahathir kemudiannya menubuhkan partinya sendiri iaitu Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).
Perjalanan politik Mahathir dalam tempoh sedekad mendedahkan perangai sebenar Mahathir yang mendahulukan kepentingan peribadi dan legasi kuasanya berbanding memikirkan kestabilan serta perpaduan politik Melayu yang beliau sendiri kerap perjuangkan.
SUMBER: https://malaysiagazette.com/2018/02/03/tun-m-punca-utama-masyarakat-pecah-belah-tian-ker/
Mahathir merupakan Presiden UMNO dan Perdana Menteri keempat Malaysia dari 1981 hingga 2003.
Tempoh pemerintahan itu adalah yang terpanjang dalam sejarah negara.
Namun, sepanjang tempoh 22 tahun itu, pelbagai kontroversi dicetuskan oleh Mahathir seperti budaya bail-out syarikat kroninya.
Justeru, apabila Mahathir menggelar dirinya sebagai pejuang anti-rasuah dan anti-kroni selepas 2016, wajar dipersoalkan tentang kebenaran perjuangannya itu atau sekadar taktik politik baharu untuk kekal relevan.
SUMBER: https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/05/420694/kronisme-ciptaan-dr-mahathir-lebih-teruk
Fasa pertama perubahan melibatkan kesetiaan Mahathir bermula pada 2016, apabila beliau keluar UMNO dan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Beliau mendakwa UMNO di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak telah 'rosak' akibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
BERSATU kemudiannya menyertai gabungan Pakatan Harapan (PH), satu langkah yang pada masa itu dilihat sebagai pengorbanan besar seorang veteran UMNO yang sanggup bekerjasama dengan bekas musuh politiknya, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Gabungan 'pelik' itu menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018.
Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri buat kali kedua berlandaskan platform yang mendakwa memperjuangkan reformasi, ketelusan dan pemerintahan bersih.
Namun, Mahathir gagal menunaikan janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar, sekali gus membawa kepada peristiwa Langkah Sheraton.
Peristiwa tersebut menyaksikan Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan terbentuknya PN yang turut disertai oleh UMNO dan PAS.
Di sinilah bermulanya fasa paling mengelirukan dalam corak kesetiaan ditunjukkan oleh Mahathir.
Beliau sendiri enggan menyertai kerajaan PN walaupun menjadi punca kejatuhan kerajaan PH yang beliau pernah pimpin.
Mahathir bersama anaknya, Datuk Seri Muhkriz menubuhkan PEJUANG pada Ogos 2020 yang menjadi parti keempat dalam kerjaya politiknya.
Kesemua parti yang disertai dan ditubuhkan berpaksikan ideologi nasionalisme Melayu dan ketuanan Melayu yang serupa, namun berbeza jenama serta struktur kepimpinan.
Persoalan yang wajar dibangkitkan adalah sekiranya ideologi teras yang diperjuangkan sentiasa sama, mengapa perlu ditubuhkan parti baharu setiap kali berlaku perselisihan peribadi dengan ahli politik lain berbanding mempertahankan dan memperbaiki parti politik sedia ada.
SUMBER: https://www.sinarharian.com.my/article/97141/berita/politik/pejuang-bakal-pecah-belahkan-melayu
Kritikan paling utama terhadap corak 'kingmaker' Mahathir ini adalah kesan pemecahbelahan yang ditinggalkan terhadap landskap politik Melayu secara keseluruhannya.
Setiap kali Mahathir menubuhkan atau meninggalkan sesebuah parti, pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada struktur politik Melayu-Islam negara ini.
Langkah Mahathir telah memecahkan undi Melayu antara UMNO, BERSATU, PEJUANG dan pelbagai parti serpihan kecil lain, sekali gus melemahkan keupayaan blok politik Melayu membina kestabilan jangka masa panjang.
Berbanding memilih untuk melaksanakan reformasi UMNO secara dalaman pada 2016 atau mengekalkan kestabilan PH selepas PRU-14, Mahathir memilih laluan menubuhkan 'kenderaan' politik baharu setiap berlakunya konflik kepentingan atau perselisihan peribadi.
Penganalisis politik turut menyatakan naratif berasaskan kaum yang dibawa oleh Mahathir gagal mendapat sambutan terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu-Muslim konservatif, menandakan berakhirnya era 'grand old man' beliau.
Kegagalan tersebut mencerminkan kelelahan rakyat terhadap corak politik Mahathir yang terus-menerus menukar bendera parti tanpa prinsip yang konsisten serta boleh dipercayai.
Perjalanan politik Mahathir yang sering bertukar parti politik dalam tempoh kurang sedekad membimbangkan.
Pola itu mengorbankan kestabilan dunia politik dan perpaduan ideologi demi survival taktikal seorang individu berpengaruh seperti Mahathir.
Keadaan itu turut memberi pengajaran penting kepada generasi pemimpin akan datang, bahawa kejayaan membina kuasa dan pengaruh peribadi dalam jangka masa pendek tidak menjamin legasi yang mampan dalam tempoh panjang.
Rakyat Malaysia khususnya pengundi Melayu wajar mempersoalkan seberapa besar nilai kesetiaan yang ditawarkan oleh parti atau gabungan yang dipimpin oleh individu seperti Mahathir.
Comments
Post a Comment