Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pernah 'dijulang' sebagai muka baharu dalam arena politik tempatan kerana kerap memperjuangkan isu berkaitan golongan muda pada awal pembabitannya.
Beliau sering tampil dengan imej progresif, lantang bersuara dan dianggap sebagai pembawa suara generasi muda untuk masa hadapan.
Namun, perjalanan politiknya tidak seindah yang diharapkan oleh kebanyakan pihak.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Syed Saddiq menunjukkan kegagalan besar dalam soal integriti dan menjadi teladan kepada imej politik anak muda.
Pelbagai isu atau kontroversi membelenggu perjalanan politiknya sehingga imejnya terjejas teruk.
Kontroversi paling besar yang menyelubungi karier politik Syed Saddiq adalah pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Pada 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan serta denda sebanyak RM10 juta.
Meskipun Mahkamah Rayuan pada 2025 melepas dan membebaskannya, namun pihak pendakwa raya masih mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan dengan 28 alasan untuk mengetepikan pembebasan berkenaan.
Hakikat bahawa seorang wakil rakyat muda terpalit dengan kes sebegini sudah cukup untuk menjejaskan imej politik generasi baharu.
Walaupun beliau cuba menampilkan naratif bahawa beliau tidak bersalah, tetapi persepsi rakyat tetap melihat kes tersebut sebagai satu simbol kegagalan menjaga integriti daripada Syed Saddiq.
SUMBER: https://siakapkeli.my/2023/11/09/syed-saddiq-ahli-politik-pertama-dikenakan-hukuman-sebat-pendakwaan
Syed Saddiq turut dikaitkan dengan kontroversi projek Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) di Muar.
Syed Saddiq dikritik kerana didakwa cuba mengambil kredit atas kemajuan projek tersebut.
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegur Syed Saddiq secara terbuka dengan menegaskan bahawa projek berkenaan berjalan mengikut jadual, hasil pemantauan kerajaan negeri Johor dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Hannah turut mendedahkan bahawa Syed Saddiq masuk ke tapak projek terbabit tanpa kebenaran, merakam video dan menguar-uarkan kenyataan tidak tepat di media sosial.
Teguran seorang menteri Kabinet terhadap seorang ahli Parlimen yang masih muda seperti Syed Saddiq jelas telah menjejaskan kredibiliti beliau.
Bagi pengundi Muar, tindakan Syed Saddiq dianggap memalukan kerana wakil rakyat mereka dikritik secara terbuka gara-gara sikapnya yang tidak profesional.
Selain itu, Syed Saddiq pernah dikaitkan dengan isu perlumbaan 113 Triathlon Desaru Malaysia di Johor pada Julai 2024, apabila keputusan penyertaannya ditarik balik oleh pihak penganjur selepas timbul dakwaan beliau menipu.
Peserta lain mendakwa beliau tidak mengikuti laluan penuh perlumbaan dan pihak penganjur akhirnya membatalkan pencapaian podium Syed Saddiq.
Meskipun Syed Saddiq menafikan niatnya menipu dan menyifatkannya sebagai 'kesilapan', isu tersebut tetap menjejaskan kredibiliti beliau.
Isu itu menambah kepada senarai panjang kontroversi yang mencalar imej seorang pemimpin muda yang sepatutnya jujur dan telus.
SUMBER: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/syed-saddiq-dnf-mohon-maaf-tidak-tamat-triathlon-478431
Tuntasnya, pengundi Muar yang pernah berbangga memilih Syed Saddiq kini berdepan dilema.
Harapan mereka untuk melihat seorang wakil rakyat muda yang berintegriti telah bertukar menjadi rasa malu akibat beberapa siri kontroversi yang membelenggu beliau.
Dari perspektif politik, kegagalan Syed Saddiq menjadi teladan menunjukkan usia muda bukan jaminan seseorang itu memiliki integriti.
Politik anak muda memerlukan seorang pemimpin yang menunjukkan teladan yang bersih, berprinsip dan memberi fokus sepenuhnya kepada rakyat.
Namun, perkara itu adalah sesuatu yang gagal ditunjukkan oleh Syed Saddiq sehingga kini.
Comments
Post a Comment