Skip to main content

Projek 'Bail-Out' Mahathir Beban Kewangan Negara

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini sering diraikan sebagai arkitek pemodenan ekonomi Malaysia yang membawa negara daripada ekonomi berasaskan komoditi kepada kuasa perindustrian serantau.

Namun di sebalik pencapaian itu, pentadbirannya turut memperlihatkan budaya 'bail-out' melibatkan Bank Bumiputra, Perwaja Steel, Malaysia Airlines (MAS) dan Renong-UEM.

Peristiwa-peristiwa itu mempunyai corak yang sama apabila syarikat berkaitan kroni politik mengalami kegagalan akibat salah urus atau menghadapi risiko besar sebelum kerajaan menggunakan wang awam untuk menyelamatkannya.

Tindakan tersebut sering dipertahankan atas alasan kepentingan negara atau usaha memperkasa ekonomi Bumiputera.

Hampir empat dekad kemudian, kesan kumulatifnya masih dirasai melalui beban hutang negara yang mencecah RM1.69 trilion.

SUMBER: https://www.majalahlabur.com/kewangan/6-skandal-kewangan-yang-pernah-menggemparkan-malaysia/

Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB), yang ditubuhkan bagi memperkasa ekonomi Bumiputera, menjadi antara peristiwa 'bail-out' yang hitam.

Melalui anak syarikatnya Bumiputra Malaysia Finance (BMF) di Hong Kong, bank itu terjebak dalam skandal kewangan besar selepas pinjaman berisiko tinggi diluluskan tanpa tatakelola sepatutnya sehingga menyebabkan kerugian berbilion ringgit.

Kerajaan kemudian terpaksa melakukan 'bail-out' lebih daripada sekali sepanjang 1980-an dan 1990-an.

Kritikan terhadap tindakan itu pula sering disembunyikan menggunakan naratif bahawa BBMB merupakan institusi kepentingan Melayu sehingga mereka yang mempersoalkan penggunaan wang awam berisiko dianggap menentang kepentingan bangsa.

Corak retorik tersebut kemudiannya diulang dalam 'bail-out' lain dengan persoalan berhubung ketelusan dan akauntabiliti dibayangi sentimen perkauman.

SUMBER: https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2017/01/24/skandal-bmf

Peristiwa melibatkan Perwaja Steel menjadi contoh kegagalan apabila projek kebanggaan negara diuruskan tanpa mekanisme kawalan mencukupi.

Projek di Kemaman, Terengganu yang dibangunkan untuk menjadikan Malaysia sebagai gergasi keluli serantau akhirnya menjadi contoh kegagalan projek mega negara.

Di bawah pengurusan Eric Chia, Perwaja mengalami kerugian berbilion ringgit akibat salah urus dan spekulasi dagangan hadapan yang tidak sesuai bagi sebuah syarikat perindustrian.

'Bail-out' besar-besaran terpaksa dilakukan sebelum syarikat itu akhirnya ditutup kerana gagal pulih sepenuhnya.

Lebih membimbangkan, kegagalan tersebut tidak dipelajari oleh kerajaan pimpinan Mahathir dalam membendung peristiwa 'bail-out' seterusnya.

SUMBER: https://www.malaysiakini.com/letters/28851

Kes Malaysia Airlines (MAS) pula menunjukkan dana awam boleh digunakan secara langsung untuk menyelamatkan kepentingan individu berpengaruh.

Selepas MAS diswastakan kepada Tajudin Ramli pada 1990-an dan mengalami kerugian besar akibat salah urus korporat, kerajaan melalui arahan Allahyarham Tun Daim Zainuddin membeli semula saham MAS pada harga RM8 sesaham ketika harga pasaran sekitar RM3.50.

Perbezaan premium tersebut, apabila didarab dengan jumlah saham yang terlibat, membawa kepada pemindahan kekayaan awam kepada individu yang gagal menguruskan syarikat dengan baik.

Hutang yang dikeluarkan kerajaan untuk menyelamatkan MAS pula tidak berjaya dibayar semula sepenuhnya dan sebahagiannya terpaksa dilupuskan.

Akhirnya, kerugian ditanggung pembayar cukai sedangkan individu yang bertanggungjawab terhadap kegagalan tersebut tidak menanggung akauntabiliti kewangan yang setimpal.

SUMBER: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kes-daim-sprm-panggil-tajudin-ramli-siasat-transaksi-mas-laporan-462329

Peristiwa 'menyelamatkan' Renong-UEM ketika krisis kewangan Asia 1997/98 merupakan antara episod paling besar dari segi skop dan kos.

Krisis itu mendedahkan banyak konglomerat besar Malaysia dibina berasaskan hutang tinggi dan hubungan rapat dengan golongan elit politik.

Renong Berhad milik Halim Saad menjadi antara kes paling ketara.

Kerajaan memilih untuk campur tangan melalui Danaharta, Danamodal, Danasaham dan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat (CDRC), melibatkan berpuluh bilion ringgit dana awam.

Danaharta membeli 37.9 peratus pegangan UEM pada harga RM4.50 sesaham dan 40 sen bagi setiap waran, sementara kerajaan secara keseluruhan membayar hutang Renong sebanyak RM11.3 bilion.

Walaupun langkah itu dijustifikasikan sebagai usaha melindungi pekerjaan dan kestabilan ekonomi, persoalan tetap timbul tentang faktor sebenar konglomerat tersebut dibenarkan berkembang begitu besar tanpa kawalan risiko yang sepatutnya sejak dari awal lagi.

SUMBER: https://www.malaysiakini.com/news/692659

Tuntasnya, budaya 'bail-out' era Mahathir memberi impak besar kepada beban kewangan negara ketika ini.

Beban itu muncul melalui cukai lebih tinggi, subsidi yang semakin dikurangkan serta ruang fiskal kerajaan yang kian sempit.

Kesannya, kemampuan kerajaan melabur dalam pendidikan, kesihatan dan infrastruktur masa depan turut menjadi lebih terbatas.

Sudah tiba masanya warisan ekonomi Mahathir dinilai secara lebih kritis dan tidak hanya meraikan pencapaian pembangunan di bawah pemerintahannya.

Tanpa mengambil pengajaran daripada kesemua peristiwa tersebut dan melaksanakan pembaharuan sebenar terhadap tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan serta ketelusan proses 'bail-out', generasi kepimpinan akan datang berisiko mengulangi corak sama.

Comments

Popular posts from this blog

MUDA Gagal Beri Nilai Tambah

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menyaksikan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS hanya memperoleh 1,106 undi. Angka berkenaan adalah sangat rendah berbanding calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Yusri Bakir dengan 11,065 undi dan calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek (6,059 undi). Justeru, kekalahan terbabit mencerminkan kegagalan kerjasama politik antara PSM dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA). Walaupun kedua-dua parti tersebut mempromosikan kerjasama terbabit sebagai 'usaha blok ketiga' namun keputusan PRK itu mengundang satu persoalan besar. Mengapa PSM bekerjasama dengan MUDA? SUMBER: https://www.malaymail.com/news/malaysia/2025/04/27/official-results-bns-mohamad-yusri-clinches-ayer-kuning-by-election-with-5006-vote-majority/174610 MUDA sejak awal penubuhannya membawa aspirasi politik baharu iaitu memperjuangkan suara anak muda, integriti dan perubahan. Namun naratif tersebut kian pudar, terutama sele...

Syed Saddiq 'Kecewakan' Pengundi Muar

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pernah 'dijulang' sebagai muka baharu dalam arena politik tempatan kerana kerap memperjuangkan isu berkaitan golongan muda pada awal pembabitannya. Beliau sering tampil dengan imej progresif, lantang bersuara dan dianggap sebagai pembawa suara generasi muda untuk masa hadapan. Namun, perjalanan politiknya tidak seindah yang diharapkan oleh kebanyakan pihak. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Syed Saddiq menunjukkan kegagalan besar dalam soal integriti dan menjadi teladan kepada imej politik anak muda. Pelbagai isu atau kontroversi membelenggu perjalanan politiknya sehingga imejnya terjejas teruk.  Kontroversi paling besar yang menyelubungi karier politik Syed Saddiq adalah pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA). Pada 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman tujuh tahun penjara, dua sebat...

Keikhlasan Penyatuan Melayu Mahathir Diragui

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dakwa kemelut dalam Bersatu tidak akan mengganggu perjuangannya dalam menyatukan orang Melayu. Mahathir mengatakan sebarang pertikaian dalam parti merupakan isu dalaman dan tidak wajar dianggap sebagai bibit perpecahan dalam perjuangan utama untuk memartabatkan bangsa Melayu. Namun, agenda perpaduan Melayu yang bagaimana mahu diperjuangkan oleh Mahathir? Paling penting, adakah perjuangan itu benar-benar ikhlas atau sekadar modal politik lama yang terus dimainkan demi mengekalkan pengaruhnya? SUMBER: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2025/11/06/dr-m-tak-jujur-sebut-orang-melayu-berpecah-lepas-berundur-kata-bekas-timbalan-menteri Dalam konteks politik semasa, naratif perpaduan Melayu yang sering dimainkan Mahathir kelihatan semakin kehilangan kredibilitinya. Situasi itu didorong oleh realiti bahawa Mahathir merupakan faktor utama kepada perpecahan politik Melayu sejak lebih kurang empat dekad lalu. Mahathir serin...