Skip to main content

Keputusan MUDA Tarik Diri Dipersoal


Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak akan menghantar calonnya bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada Julai.

Menurut Ketua Penerangan MUDA Pulau Pinang Muhammad Danial Abdul Majeed, parti berkenaan mengambil keputusan tersebut berikutan tenaga kerja selain keahlian MUDA Pulau Pinang hanya kira-kira 9,000 orang.

Tambahnya, keputusan itu terpaksa diambil atas beberapa faktor lain juga seperti isu kepimpinan dan sebagainya.

MUDA bagaimanapun akan berkempen untuk memberi penerangan kepada pengundi bagi membolehkan rakyat membuat keputusan lebih jelas.

Namun, wujud tanda tanya sama ada faktor-faktor yang disebutkan merupakan punca sebenar penarikan diri MUDA daripada PRK Sungai Bakap.

SUMBER: https://www.astroawani.com/berita-politik/muda-urimai-tidak-bertanding-prk-sungai-bakap-475562


Sejak penubuhan MUDA pada 2020, parti tersebut telah menghadapi pelbagai cabaran.

Walaupun pada awalnya parti ini menerima sambutan yang hangat daripada golongan muda yang dahagakan perubahan, perjalanan MUDA tidaklah seindah yang diharapkan.

Reputasi MUDA kini terkesan oleh beberapa faktor utama yang menyumbang kepada persepsi negatif terhadap keupayaan mereka untuk memimpin dan membawa perubahan sebenar.

Salah satunya adalah kes mahkamah membabitkan pengasas MUDA sendiri iaitu ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang didapati bersalah terhadap empat pertuduhan penyalahgunaan dana dan pengubahan wang haram.

MUDA bukan sahaja menerima tempias daripada kes berkenaan malahan Syed Saddiq masih 'dibenarkan' kekal sebagai ahli dalam parti terbabit.

Kurangnya ketegasan daripada kepimpinan parti berkenaan untuk memecat Syed Saddiq, menggambarkan bahawa ahli Parlimen Muar tersebut masih memiliki pengaruh dalam MUDA.

Justeru, kepercayaan rakyat terhadap MUDA kian terhakis gara-gara tiada tindakan lebih proaktif daripada kepimpinan parti itu selain beberapa kontroversi lain yang melanda.

SUMBER: https://www.kosmo.com.my/2023/11/09/syed-saddiq-didapati-bersalah-terhadap-empat-pertuduhan/


MUDA turut berdepan isu kekurangan individu berpengaruh yang berpengalaman dalam parti itu.

Kebanyakan ahli dan pemimpin MUDA terdiri daripada golongan muda yang kurang berpengalaman dalam kancah politik Malaysia yang rumit dan penuh cabaran.

Faktor kekurangan pengalaman menjadi penghalang besar dalam usaha mereka untuk meraih keyakinan pengundi, terutamanya di kawasan yang memerlukan strategi politik yang matang dan berkesan.

Sungai Bakap bukanlah kawasan yang mudah untuk ditawan dan memerlukan strategi politik yang teliti dan efisien, memandangkan faktor demografinya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kepentingan.

Dalam konteks ini, MUDA perlu menghadapi pesaing-pesaing politik yang lebih berpengalaman dan sudah mempunyai tapak yang kukuh di kawasan tersebut.

MUDA juga gagal melahirkan individu berpengaruh selepas Syed Saddiq.

Meskipun Amira Aisya Abd Aziz diangkat untuk menerajui parti itu sebagai pemangku Presiden, namun aura beliau dalam kancah politik Malaysia masih tidak signifikan.

Perjuangan MUDA turut terarah kepada golongan bandar dan kebanyakan pengundi luar bandar lebih cenderung untuk memilih parti tradisional.

SUMBER: https://majoriti.com.my/netzkorner/2022/03/06/muda-ditegur-soal-tiada-pengalaman-pemikiran-tidak-matang


MUDA memulakan langkah bertanding dalam pilihan raya negara ini pada 2022 di Johor.

Sejak itu, MUDA 'mencuba nasib' bertanding dalam pelbagai pilihan raya termasuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 2022 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri pada 2023.

Malangnya, rekod MUDA dalam pilihan raya berada pada tahap kurang memberangsangkan.

Ketika PRU-15, MUDA hanya memenangi satu kerusi di Muar, manakala empat lagi calon tewas.

Sewaktu PRN enam negeri tahun lalu, kesemua 19 calon MUDA hilang wang deposit. Persoalan sama ada MUDA boleh memperbaiki rekod tersebut atau tidak, setakat ini masih samar-samar.

Beberapa inisiatif dan janji yang diutarakan oleh MUDA sebelum ini tidak direalisasikan sepenuhnya, menyebabkan pengundi merasa skeptikal terhadap kemampuan parti ini untuk membawa perubahan yang dijanjikan.

Kegagalan ini telah memberi kesan negatif kepada reputasi parti dalam setiap pilihan raya yang ditandingi.

SUMBER: https://premium.sinarharian.com.my/article/228059/sinar360/infografik/infografik-selain-calon-muda-siapa-lagi-hilang-wang-deposit


Realiti politik pada masa kini memerlukan lebih daripada sekadar semangat dan idealisme.

Tanpa pembaharuan dan penambahbaikan yang signifikan, peluang MUDA untuk menang di PRK Sungai Bakap adalah tipis.

MUDA juga masih belum menunjukkan mereka mempunyai 'faktor X' yang boleh disajikan kepada rakyat sehingga kini.

Untuk menjadi sebuah parti yang benar-benar relevan kepada masyarakat khususnya kumpulan sasaran seperti golongan belia, MUDA perlu tampil dengan strategi yang lebih bernas dan tidak hanya 'menunggang' sesuatu isu.

Pengundi kini semakin bijak dan memerlukan lebih daripada sekadar janji-janji manis untuk memberikan sokongan mereka.

Comments

Popular posts from this blog

MUDA Gagal Beri Nilai Tambah

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menyaksikan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS hanya memperoleh 1,106 undi. Angka berkenaan adalah sangat rendah berbanding calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Yusri Bakir dengan 11,065 undi dan calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek (6,059 undi). Justeru, kekalahan terbabit mencerminkan kegagalan kerjasama politik antara PSM dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA). Walaupun kedua-dua parti tersebut mempromosikan kerjasama terbabit sebagai 'usaha blok ketiga' namun keputusan PRK itu mengundang satu persoalan besar. Mengapa PSM bekerjasama dengan MUDA? SUMBER: https://www.malaymail.com/news/malaysia/2025/04/27/official-results-bns-mohamad-yusri-clinches-ayer-kuning-by-election-with-5006-vote-majority/174610 MUDA sejak awal penubuhannya membawa aspirasi politik baharu iaitu memperjuangkan suara anak muda, integriti dan perubahan. Namun naratif tersebut kian pudar, terutama sele...

Syed Saddiq 'Kecewakan' Pengundi Muar

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pernah 'dijulang' sebagai muka baharu dalam arena politik tempatan kerana kerap memperjuangkan isu berkaitan golongan muda pada awal pembabitannya. Beliau sering tampil dengan imej progresif, lantang bersuara dan dianggap sebagai pembawa suara generasi muda untuk masa hadapan. Namun, perjalanan politiknya tidak seindah yang diharapkan oleh kebanyakan pihak. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Syed Saddiq menunjukkan kegagalan besar dalam soal integriti dan menjadi teladan kepada imej politik anak muda. Pelbagai isu atau kontroversi membelenggu perjalanan politiknya sehingga imejnya terjejas teruk.  Kontroversi paling besar yang menyelubungi karier politik Syed Saddiq adalah pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA). Pada 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman tujuh tahun penjara, dua sebat...

Keikhlasan Penyatuan Melayu Mahathir Diragui

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dakwa kemelut dalam Bersatu tidak akan mengganggu perjuangannya dalam menyatukan orang Melayu. Mahathir mengatakan sebarang pertikaian dalam parti merupakan isu dalaman dan tidak wajar dianggap sebagai bibit perpecahan dalam perjuangan utama untuk memartabatkan bangsa Melayu. Namun, agenda perpaduan Melayu yang bagaimana mahu diperjuangkan oleh Mahathir? Paling penting, adakah perjuangan itu benar-benar ikhlas atau sekadar modal politik lama yang terus dimainkan demi mengekalkan pengaruhnya? SUMBER: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2025/11/06/dr-m-tak-jujur-sebut-orang-melayu-berpecah-lepas-berundur-kata-bekas-timbalan-menteri Dalam konteks politik semasa, naratif perpaduan Melayu yang sering dimainkan Mahathir kelihatan semakin kehilangan kredibilitinya. Situasi itu didorong oleh realiti bahawa Mahathir merupakan faktor utama kepada perpecahan politik Melayu sejak lebih kurang empat dekad lalu. Mahathir serin...