Skip to main content

Gelombang Perubahan Menenggelamkan Mahathir


Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad meluahkan rasa kecewanya selepas kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Langkawi.

Dalam wawancara podsiar bersama 'Keluar Sekejap', Mahathir menyuarakan kesedihannya kerana sumbangannya dalam membangunkan Langkawi tidak dihargai oleh penduduk tempatan.

Beliau menegaskan telah melakukan pelbagai inisiatif untuk penduduk Langkawi seperti menjadikan pulau tersebut sebagai pulau bebas cukai dan bantu membina rumah yang rosak selepas tsunami melanda.

Mahathir turut mengaitkan kekalahannya dengan sikap rakyat yang lebih cenderung menerima bantuan dalam bentuk wang ringgit.

Dakwanya, orang Melayu pada masa kini lebih mementingkan wang ringgit berbanding segala khidmat yang pernah diberikan oleh beliau kepada penduduk Langkawi.


Kita tidak boleh menolak kemungkinan bahawa wujud faktor lain yang menyebabkan kekalahan Mahathir pada PRU15 selain dakwaan yang dilontarkan oleh beliau.

Pertama, pengaruh politik dan imej Mahathir telah mengalami perubahan sejak beliau menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.

Dalam politik Malaysia yang dinamik, sikap dan persepsi rakyat terhadap pemimpin politik berubah dengan pantas.

Perkara sama berlaku kepada sokongan ramai terhadap Mahathir. Kepimpinan Mahathir yang diibaratkan 'kucar-kacir' ketika menjadi Perdana Menteri ketujuh telah menyebabkan kebanyakan rakyat berpaling daripada menyokongnya.

Mahathir yang sebelum ini disifatkan sebagai 'penyelamat' kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tidak memenuhi aspirasi orang ramai seperti diharapkan.

Meskipun dakwaan rakyat lebih suka menerima bantuan berbentuk wang ringgit mungkin memainkan peranan, namun sukar untuk memastikan sejauh mana tuduhan tersebut mempengaruhi keseluruhan pengundian.

Tidak disangkal bahawa faktor ekonomi mempengaruhi keputusan pengundi, tetapi penting untuk Mahathir faham bahawa pengundi turut menilai pemimpin berdasarkan pelbagai isu lain termasuk dasar, integriti serta kepercayaan terhadap ahli politik.

Faktor kedua yang memainkan peranan adalah persepsi negatif atau skeptisisme orang ramai terhadap Mahathir khususnya dalam soal politik dan cara beliau mengendalikan sesuatu isu.

Banyak tindakan Mahathir yang dibuat ketika menjadi Perdana Menteri ketujuh, disifatkan tidak efisien atau gagal bagi kebanyakan rakyat.

Mahathir pernah cuba menarik bantuan rakyat namun dikembalikan semula selepas menerima desakan dan beliau gagal mengendalikan isu kemasukan pelancong China dengan baik selepas wujud laporan bahawa Covid-19 telah melanda dunia.

Selain itu, dasar ekonomi yang dijalankan oleh Mahathir turut dikritik. Contohnya, Mahathir membatalkan beberapa projek infrastruktur besar seperti projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) sehingga Malaysia terpaksa membayar kira-kira RM320 juta kepada Singapura.

Tindakan berkenaan mencetuskan tanda tanya dalam kalangan para pelabur serta orang ramai selain menimbulkan persoalan mengenai konsistensi serta visi ekonomi Mahathir.

Faktor ketiga adalah pengaruh media sosial dan platform digital dalam membentuk pandangan umum tidak boleh dipandang ringan.

Cara mesej disampaikan dan diterima dalam era digital masa kini sangat berbeza berbanding ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat sebelum ini.

Mahathir perlu sedar segala tindak-tanduk pemimpin politik boleh dinilai dan diperhati secara jelas menerusi media sosial.

Orang ramai tidak lagi bergantung kepada platform media tradisional yakni surat khabar semata-mata untuk mengetahui isu semasa namun cenderung untuk melihat media sosial sebagai alternatif sumber pemberitaan mereka.

Semua perkara baik atau buruk melibatkan ahli politik mudah dilihat oleh rakyat di dalam media sosial.

Selain itu, rakyat mungkin hanya melihat Mahathir sebagai sebahagian daripada ahli politik veteran yang tidak relevan dan sukar untuk menawan hati orang ramai berbanding sebelum ini.

Sumber: https://twitter.com/khairul_hafidz/status/1723959809559707847


Tuntasnya, kekalahan Mahathir di Parlimen Langkawi dengan hanya memperoleh 4,566 undi, menunjukkan landskap politik negara yang semakin kompetitif.

Dalam konteks ini, pengundi mungkin lebih memilih untuk menilai calon berdasarkan prestasi, keupayaan untuk menyelesaikan masalah dan bersesuaian dengan aspirasi rakyat.

Kecenderungan ini menunjukkan kematangan pemikiran politik rakyat yang tidak lagi hanya terikat pada personaliti atau populariti seseorang pemimpin, tetapi lebih berfokus kepada keberkesanan dan dasar atau janji yang diusulkan oleh calon-calon pilihan raya.

Perubahan dalam cara pengundi membuat keputusan juga mungkin dipengaruhi oleh perkembangan informasi yang lebih meluas pada masa kini.

Pengundi kini lebih mudah dapat mengakses maklumat tentang seseorang calon pilihan raya, membolehkan mereka membuat pilihan yang lebih tepat.

Selain itu, percanggahan dalam kepentingan isu-isu semasa juga memainkan peranan.

Pengundi kini lebih peka terhadap isu-isu seperti ekonomi, pendidikan dan kesihatan serta mencari calon yang dapat memberikan solusi yang berkesan dan inovatif untuk pelbagai isu negara.

Maka, penolakan Mahathir di Langkawi merupakan indikator kepada cara pengundi membuat keputusan dalam memilih seseorang calon politik telah berubah secara signifikan.

Comments

Popular posts from this blog

MUDA Gagal Beri Nilai Tambah

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menyaksikan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS hanya memperoleh 1,106 undi. Angka berkenaan adalah sangat rendah berbanding calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Yusri Bakir dengan 11,065 undi dan calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek (6,059 undi). Justeru, kekalahan terbabit mencerminkan kegagalan kerjasama politik antara PSM dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA). Walaupun kedua-dua parti tersebut mempromosikan kerjasama terbabit sebagai 'usaha blok ketiga' namun keputusan PRK itu mengundang satu persoalan besar. Mengapa PSM bekerjasama dengan MUDA? SUMBER: https://www.malaymail.com/news/malaysia/2025/04/27/official-results-bns-mohamad-yusri-clinches-ayer-kuning-by-election-with-5006-vote-majority/174610 MUDA sejak awal penubuhannya membawa aspirasi politik baharu iaitu memperjuangkan suara anak muda, integriti dan perubahan. Namun naratif tersebut kian pudar, terutama sele...

Syed Saddiq 'Kecewakan' Pengundi Muar

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pernah 'dijulang' sebagai muka baharu dalam arena politik tempatan kerana kerap memperjuangkan isu berkaitan golongan muda pada awal pembabitannya. Beliau sering tampil dengan imej progresif, lantang bersuara dan dianggap sebagai pembawa suara generasi muda untuk masa hadapan. Namun, perjalanan politiknya tidak seindah yang diharapkan oleh kebanyakan pihak. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Syed Saddiq menunjukkan kegagalan besar dalam soal integriti dan menjadi teladan kepada imej politik anak muda. Pelbagai isu atau kontroversi membelenggu perjalanan politiknya sehingga imejnya terjejas teruk.  Kontroversi paling besar yang menyelubungi karier politik Syed Saddiq adalah pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA). Pada 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman tujuh tahun penjara, dua sebat...

Keikhlasan Penyatuan Melayu Mahathir Diragui

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dakwa kemelut dalam Bersatu tidak akan mengganggu perjuangannya dalam menyatukan orang Melayu. Mahathir mengatakan sebarang pertikaian dalam parti merupakan isu dalaman dan tidak wajar dianggap sebagai bibit perpecahan dalam perjuangan utama untuk memartabatkan bangsa Melayu. Namun, agenda perpaduan Melayu yang bagaimana mahu diperjuangkan oleh Mahathir? Paling penting, adakah perjuangan itu benar-benar ikhlas atau sekadar modal politik lama yang terus dimainkan demi mengekalkan pengaruhnya? SUMBER: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2025/11/06/dr-m-tak-jujur-sebut-orang-melayu-berpecah-lepas-berundur-kata-bekas-timbalan-menteri Dalam konteks politik semasa, naratif perpaduan Melayu yang sering dimainkan Mahathir kelihatan semakin kehilangan kredibilitinya. Situasi itu didorong oleh realiti bahawa Mahathir merupakan faktor utama kepada perpecahan politik Melayu sejak lebih kurang empat dekad lalu. Mahathir serin...